5 Tips Untuk Orang Baru di Gimnasium

Assalamualaikum...

Tahniah buat anda yang baru berjinak-jinak bersenam di gimnasium. Ia satu langkah yang baik untuk mengekalkan kesihatan dan kesegaran tubuh. Tapi perlu diketahui anda tidak boleh sesuka hati melakukan senaman dan menggunakan peralatan di sini tanpa bimbingan. Bimbang sihat yang anda mahu, kecederaan yang anda dapat. Berikut adalah panduan yang perlu anda tahu jika mahu bersenam di gimnasium.


Pastikan perut anda berisi


Jangan sesekali ke gimnasium dengan perut yang lapar. Setidak-tidaknya, makan sedikit makanan tetapi mengenyangkan seperti sandwich, roti gandum, dan lain-lain lagi. Praktikkan mengambil makanan tersebut dalam tempoh satu atau dua jam sebelum bersenam. Selain itu, cubalah makan jenis makanan yang mudah dihadam.


Gunakan teknik yang betul


Anda berisiko untuk mendapat kecederaan jika tidak melakukan teknik pemanasan yang betul sebelum melakukan senaman di gimnasium. Tubuh juga memerlukan waktu untuk membiasakan diri dengan aktiviti yang bakal dilakukan. Sebab itulah aktiviti pemanasan harus dipraktikkan seperti berlari setempat, berjalan di treadmill, dan lain-lain.


Hadkan bentuk senaman


Jangan sesekali melakukan senaman yang berat melibatkan kardio, berlari di atas treadmill dan beberapa jenis senaman yang seumpama dengannya. Ini secara tidak langsung membebankan tubuh untuk menampung latihan yang tidak biasa dilakukan. Sebaiknya, mulakan dengan senaman yang ringan dan buatlah secara perlahan-lahan. Paling penting, biarlah ia mengikut turutan dan jangan sesekali praktikkan senaman secara sembarangan.


Usah bebankan tubuh


Mengangkat beban yang terlalu berat di peringkat awal apatah lagi di hari pertama ke gimnasium boleh mengakibatkan tubuh berasa terlalu letih dan tidak selesa. Lakukan senaman yang ringan dan praktikkan secara teratur selama beberapa hari. Paling tidak tiga minggu pertama sebelum anda memutuskan untuk mengangkat berat. Jangan kerana ingin kelihatan gagah maka anda sanggup mencederakan diri sendiri.


Jangan terlalu penat


Ramai yang terlalu bersemangat tatkala pertama kali menjejakkan kaki ke gimnasium. Sampaikan ada yang sanggup memperuntukkan banyak masa di sana dengan melakukan pelbagai jenis senaman walaupun ada di antaranya tidak sesuai dilakukan. Sebaiknya, janganlah terlalu obses dengan peralatan dan senaman tersebut hingga banyak tenaga digunakan di situ. Gunakan tenaga anda secara bijak.


Sumber: Mingguan Wanita

Terima kasih sudi baca :)

2 comments: