Tips Pilih Kaca Mata Mengikut Bentuk Wajah

Assalamualaikum...

Kaca mata adalah lensa nipis yang dicipta untuk membantu golongan yang menghadapi masalah penglihatan seperti silau, rabun dekat, dan rabun jauh. Namun kini peranannya bukan sekadar alat bantu penglihatan, malah ia menjadi pelengkap gaya dan peralatan hiburan seperti kaca mata tiga dimensi (3D).

Sejajar dengan perkembangan teknologi, kaca mata juga mengalami revolusi. Kini kaca mata didatangkan dalam rekaan yang menarik dengan pilihan bingkai pelbagai warna dan bentuk. Lambakan fesyen kaca mata membuatkan pengguna rambang mata memilih produk tersebut.

Namun rekaan ini jangan dinilai dari segi bentuk fizikalnya sahaja, sebaliknya anda perlu mengetahui tips yang tepat memilih kaca mata. Pemilihan kaca mata yang betul akan membuatkan anda berasa selesa dan tampil anggun. Selain perlu menitik beratkan kualiti dan harga, anda juga mesti bijak membuat pilihan rekaan mengikut kesesuaian bentuk wajah. Berikut adalah tips yang dapat membantu anda.


Bulat / Bundar



Bagi yang memiliki bentuk wajah bulat, anda disarankan memilih bingkai bersegi atau kotak. Dengan lensa yang sedikit lebih lebar dapat memberi ilusi wajah yang panjang dan berdimensi. Jangan sesekali memilih bingkai berbentuk bundar kerana ia akan membuatkan wajah anda kelihatan lebih bulat.


Bersegi


Jika anda mempunyai bentuk wajah yang rahang kelihatan begitu jelas, pilih kaca mata dengan sudut melengkung (oval atau bulat) untuk menyamarkan bentuk rahang. Hindari kaca mata berbingkai persegi.


Hati


Bingkai yang nipis sangat sesuai untuk wanita berwajah hati. Bahagian dahi yang lebih lebar dan dagu runcing adalah ciri bentuk wajah hati. Kaca mata tanpa bingkai juga pilihan yang tepat untuk anda. Untuk seimbangkan bentuk wajah, pilih bingkai dan lensa yang melebar ke bawah.


Segi tiga


Wajah segi tiga memiliki dahi yang sempit tapi lebar di bahagian rahang dan pipi. Pilih kaca mata dengan pinggiran yang tebal serta melebar ke atas (cat eye). Pastikan bentuk kaca mata anda dapat menyeimbangkan sisi atas wajah dengan bawah.


Lonjong / Panjang


Pemilik wajah lonjong atau panjang biasanya mempunyai garis pipi yang lurus dan lebih panjang dari lebar wajah. Pilihlah bingkai tebal berbentuk kotak yang lebar untuk menguatkan karakter pada wajah dan membuat kesan wajah terlihat lebih pendek.


Oval / Bujur Sirih


Bertuahlah bagi wanita yang mempunyai wajah bentuk bujur sirih atau oval kerana mereka bebas menggayakan apa juga rekaan dan model kaca mata. Wajah bentuk ini dikatakan sempurna dan hampir semua rekaan sesuai untuk anda. Namun usah berlebih pula, rekaan yang tidak terlalu besar atau terlalu kecil agar menyerlahkan keanggunan anda.


Sumber: Majalah Mingguan Wanita 

Terima kasih sudi baca :)

2 comments: