FOBIA MAMA: Urat Ungu dan Biru di Kaki

Assalamualaikum...

Perubahan ketara pada kaki yang ditumbuhi urat berwarna ungu dan biru kadangkala menggusarkan hati wanita hamil, lebih-lebih lagi itu adalah pengalaman pertama. Situasi ini adalah biasa bagi wanita hamil dan ia dipanggil urat simpul yang melanda satu dalam tiga wanita. Sesiapa sahaja boleh mengalaminya jika ahli keluarga mempunyai sejarah tersebut atau pun kerana berat badan berlebihan.

Vena varikos biasa berlaku pada vena bahagian kaki disebabkan tekanan ketika berdiri. Kadangkala masalah ini boleh berlaku di bahagian lain seperti vagina tetapi ia jarang berlaku.

URAT SIMPUL (VENA VARIKOS)

Salur darah (vena) mempunyai injap yang menghalang darah menuju ke jantung daripada mengalir secara mengundur. Urat simpul pula berlaku apabila injap ini tidak berfungsi dengan betul dan dinding saluran darah menjadi lemah. Darah terkumpul di tempat yang lemah ini. Apabila ini berlaku, dinding saluran darah itu mula meregang dan kendur, salur darah itu sendiri membengkak dan anda boleh melihatnya di bawah kulit.

PUNCA

Perkembangan bayi yang sedang membesar menyebabkan plasenta (uri) dan uterus (rahim) menekan saluran darah pada bahagian pelvik. Tekanan yang diterima oleh vena kava inferior membuatkan lebih sukar bagi darah dari kaki untuk pulang ke jantung. Dalam masa sama, lebih banyak darah mengalir di seluruh badan ketika ini dan hormon progesteron pula merelakskan dinding salur-salur darah ini.

Kesemua ini membawa maksud salur darah pada kaki anda berkemungkinan untuk membengkak. Urat simpul adalah biasa dalam kehamilan, tetapi ia akan beransur baik selepas bersalin.

SIMPTOM

Selain daripada rupanya yang tidak menarik, urat simpul boleh mengakibatkan simptom yang tidak menyenangkan seperti:

- Kegatalan dan rasa tidak selesa pada kulit di mana urat simpul berlaku.
- Bengkak tapak kaki dan buku lali.
- Kejang otot pada waktu malam.
- Lenguh kaki dan kaki terasa berat.

Jika simptom-simptom ini agak teruk atau menyebabkan rasa yang sangat tidak selesa, mintalah bantuan daripada doktor.

BAHAYAKAH?

Biasanya urat simpul tidak menyebabkan masalah serius. Tetapi jika ia berlaku di kawasan 'perineum' iaitu kawasan di antara faraj dan dubur, doktor perlu mengawasinya secara serius semasa ibu bersalin. Doktor akan memastikan semasa proses meneran, 'perineum' tidak terkoyak kerana ini boleh menyebabkan pendarahan yang teruk.

Jika masalah ini sentiasa berulang, ibu perlu ketahui bahawa kulit di permukaan urat simpul itu boleh menjadi terlalu nipis dan mungkin berdarah dengan banyak jika terlanggar sesuatu atau luka. Pendarahan mungkin sukar dihentikan dan perlu mendapat rawatan lanjut.

Jarang berlaku kes urat simpul menjadi darah beku. Namun proses kehamilan dan kelahiran itu sendiri yang menyebabkan risiko 'deep vein thrombosis' (DVT).

PENYELESAIAN

Tidak ada jalan penyelesaian yang total kerana setiap keadaan ibu hamil adalah berbeza antara satu sama lain. Namun begitu, anda boleh mengurangkan kesakitan dengan beberapa langkah di bawah:


  • BANYAK BEREHAT - Jika terlalu aktif, banyak berdiri, dan berjalan kaki ia hanya memburukkan lagi keadaan 'vena varikos' yang dialami. Sebaliknya banyakkan berehat dan jika perlu berjalan, lakukan secara perlahan-lahan. Elakkan berjalan jauh.
  • TIDUR MENGIRING KE KIRI - Ini adalah untuk mengurangkan tekanan ke atas vena kava inferior. Letakkan bantal di bawah kaki dan satu lagi di belakang anda.
  • JANGAN DUDUK ATAU BERDIRI UNTUK JANGKA MASA YANG LAMA - Berjalan-jalanlah sekurang-kurangnya sekali setiap setengah jam. Senaman ringkas juga digalakkan bagi melancarkan peredaran darah.
  • JANGAN SILANGKAN KAKI - Jika perlu duduk sepanjang hari di tempat kerja, jangan silangkan kaki. Tinggikan kaki anda. Gunakan bangku kecil atau kotak.
  • DIET SEIMBANG - Pertambahan berat yang terlalu banyak dan terlalu cepat boleh membuatkan anda mudah mengalami urat simpul. Cuba amalkan diet yang sihat dan seimbang.
  • STOKIN KHAS - Pelbagai jenis seluar ketat (tights) dan stokin khas untuk ibu mengandung yang boleh dicuba untuk mengelakkan darah dari berkumpul di kaki.
  • PAKAI KASUT RATA - Pemakaian kasut tumit tinggi hanya akan menyebabkan vena varikos semakin teruk. Sebaiknya pakai kasut rata sepanjang kehamilan bagi mengelakkan kesakitan pada diri sendiri.
  • TINGGIKAN KAKI KETIKA TIDUR - Cara ini membantu melancarkan aliran darah selepas seharian berjalan kaki. Letakkan bantal di bawah kaki sehingga posisi kaki lebih tinggi ketika tidur. Ia membantu pembuluh darah tidak menggunakan tenaga yang lebih untuk naik.


Sumber gambar: Google

Sumber: Mingguan Wanita


Personal FB: Nik Azidah

No comments:

Post a Comment